SEKILAS INFO
: - Selasa, 29-09-2020
  • 7 bulan yang lalu / Seminar Pendidikan Senat Fakultas Tarbiyah, Yang akan dilaksanakan besuk pada hari Senin Tanggal 24 Pebruari 2020 pukul 13,00 WIB yang bertempat di NBC Pondok Pesantren Wali Songo Ngabar Ponorogo
  • 11 bulan yang lalu / Pada hari senin tanggal, 24 Februari 2020 pkl 13.00 s.d selesai di Gedung NBC Pondok Pesantren Wali Songo Ngabar Ponorogo
Studium General Tahun 2020

KESAN NEGATIF PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT (HP) DALAM PEMBENTUKAN AKHLAK REMAJA
Oleh: Dr Siti Marpuah

Pensyarah Jabatan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
marpuah@uthm.edu.my

1. Pendahuluan
Era globalisasi menjadikan kehidupan seharian manusia tidak lekang (ketinggalan) daripada penggunaan gadget atau handphone terutamanya di kalangan remaja dan juga kanak-kanak. Ledakan teknologi moden telah memberi impak yang amat besar terhadap kehidupan kanak-kanak masa kini hingga usia remaja, bahkan banyak kita lihat anak yang baru berumur satu tahun sudah mahir dalam menggunakan aplikasi telefon bimbit. Dahulu, sebelum negara kita mencapai zaman modernisasi, alam kanak-kanak dipenuhi dengan aktiviti bermain di rumah, berbasikal dan sebagainya bersama rakan-rakan mereka, namun kini kanak-kanak pada abad ke 21 pula terdedah kepada penggunaan gadget di usia yang masih muda bahkan peringkat kanak-kanak yang baru berusia satu tahun. Menurut Arifin, Z (2015), Secara purata kanak-kanak menghabiskan masa selama lapan jam sehari menggunakan peralatan teknologi tersebut, bahkan mereka juga mulai tidak berminat untuk menonton televisi. Hal ini menyebabkan perkembangan pemikiran mereka banyak dipengaruhi oleh sumber teknologi dan mungkin menjejaskan kehidupan mereka. Permainan game Mobile Legend dan sebagainya menyebabkan mereka boleh tahan selama berjam-jam menghabiskan waktunya hanya untuk bermain game ini. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji apakah faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya penggunaan gadget yang melampau sehingga banyak menimbulkan kesan negatif. Sejauhmana kesan-kesan negatif tersebut serta bagaimanakah langkah-langkah yang perlu diambil dalam mengatasi permasalahan tersebut.

2. Faktor-faktor penyebab penggunaan gadget yang melampau
Zaman mutakhir ini, penggunaan gadget yang melampau menimbulkan pelbagai permasalahan dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja. Hal ini menyebabkan remaja kita semakin mundur dan dapat menjejaskan pertumbuhan negara kearah yang lebih produktif. Selain itu, aktiviti penggunaan gadget ini tidak dapat dikawal dan dipantau oleh kedua orang tua sehingga menyebabkan mereka bebas leluasa melayari website-website internet tanpa batas waktu serta keadaan (al Mazmi, 2013). Untuk itu perlu adanya penglibatan berbagai pihak dalam mengurangi permasalahan yang terjadi sekarang ini.
Tidak dinafikan lagi bahawa kesan negatif penggunaan gadget dalam kalangan remaja sememangnya banyak merisaukan pelbagai pihak, terutama ibubapa, sekolah serta negara. Antara punca penyebab penggunaan gadget yang melampau dalam kalangan remaja ialah tiada disiplin diri dalam setiap peribadi remaja, kelemahan dalam pengurusan masa, tiada kawalan daripada ibubapa dan faktor ekonomi. Penggunaan gadget yang melampau seperti melayari internet, penggunaan media social, permainan online dan sebagainya mampu menjadi penyebab kepada keruntuhan akhlak seorang remaja. Berikut ini adalah penjelasan berkaitan dengan faktor-faktor penyebab penggunaan gadget yang berlebihan.
a. Disiplin diri
Disiplin diri merupkan sesuatu yang sangat penting dalam pengurusan keperibadian seseorang. Apabila seorang remaja tiada disiplin dalam menguruskan kehidupannya, maka mereka akan mudah terpengaruh dan leka dengan penggunaan gadget yang mereka miliki. Menurut Ibrahim (2016) Disiplin diri sangat penting bagi memastikan setiap remaja sentiasa peka dan tahu sejauhmana mereka boleh menggunakan gadget dalam kehidupan seharian. Apabila setiap remaja mempunyai disiplin diri yang tinggi, maka mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan penggunaan gadget yang berlebihan, kerana mereka sudah mengetahui kebaikan dan keburukan gadget itu sendiri. Kerana itu jelaslah bahawa disiplin diri amatlah penting, kerana apabila seseorang mempunyai disiplin diri yang tinggi maka pastilah akhlak mereka juga baik.
Oleh itu peranan diri sendiri sangat penting, kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaannya sendiri, sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. (Surah ar-Ra’d : 11)
Setiap remaja hendaklah mempertimbangkan dan memikirkan secara masak-masak sebelum mereka berbuat sesuatu atau meninggalkan sesuatu tersebut. Pertimbangan ini akan mengikut akhlak yang ada dalam jiwanya. Apabila dia telah mengambil keputusan untuk melakukan atau tidak, maka barulah lahir dorongan dan keinginan untuk berbuat sesuatu atau meninggalkannya. Sama juga seperti kesan negatif penggunaan aplikasi telefon bimbit terhadap pembentukan akhlak remaja, jika remaja itu sendiri pandai menguruskan masa pastinya mereka tidak akan menghabiskan masa dengan sia-sia serta menggunakannya untuk perkara-perkara yang lebih bermanfaat.

b. Lemah dalam pengurusan masa
Kelemahan dalam pengurusan masa turut menjadi punca kepada wujudnya masalah dalam penggunaan gadget. Ini kerana pada zaman sekarang ini ramai remaja yang kurang mahir dalam pengurusan masa mereka sendiri. Pengurusan masa ini sangat penting kerana jika setiap remaja mempunyai jadual masa yang tetap maka mereka akan lebih bijak mengurus masa. Mereka boleh membahagikan masa untuk penggunaan gadget dan masa untuk belajar serta masa untuk beribadah dengan sempurna.
Namun yang kita lihat pada hari ini sebaliknya, remaja lebih banyak menghabiskan masanya dengan melayari internet, menggunakan media social, bermain permainan online dan tak jarang mereka juga melayari situs-situs pornografi yang sangat berbahaya dalam membentuk akhlaknya berbanding melakukan aktiviti yang lebih bermanfaat. Maka pengurusan masa amatlah penting bagi memastikan remaja tidak terlalu leka dengan gadget sehingga dapat menjejaskan akhlak mereka. Kerana tidak akan kembali masa-masa yang telah berlalu. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud :
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh serta nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan kesabaran”. ( al-‘Asr : 1-3)
Ayat diatas menjelaskan kepada kita bahawa Allah bersumpah dengan masa bagi menujukkan kepada manusia sekaliannya bahawa masa menjadi saksi terhadap berjaya atau gagalnya manusia serta untung atau ruginya mereka. Manusia yang berjaya dan beruntung ialah manusia yang dapat memanfaatkan masanya di dunia dengan sebaik-baiknya terutama untuk beribadah, beriman, beramal soleh serta melakukan perintah Allah dan sebagainya sebagai bekal menuju kehidupan akhirat. Sedangkan manusia yang gagal dan rugi ialah manusia yang mensia-siakan masa dengan begitu saja.
c. Kurang kawalan ibubapa
Punca lain yang menyebabkan wujudnya kesan negatif menjejaskan akhlak para remaja ialah kurangnya kawalan daripada ibubapa. Apabila ibubapa kurang memantau anak-anak ketika menggunakan gadget sehingga menyebabkan mereka berlebihan melayari internet menyebabkan ketagihan gadget dalam diri remaja itu sendiri. Ibubapa harus sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak ketika mereka menggunakan gadget terutama ketika melayari internet ataupun dengan siapa mereka berkawan di media social untuk mengelakkan mereka daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Walaupun mereka sudah remaja dan dianggap sudah dewasa untuk menguruskan diri mereka tapi ibubapa tidak boleh mengambil sikap lepas tangan dalam perkara ini, kerana pengaruh media social dan internet terlalu besar hingga mampu menjejaskan akhlak mereka.

d. Faktor ekonomi
Berdasarkan kajian dari luar negara yang dilakukan oleh Keating, S (2011) ia mendapati pelajar yang mempunyai computer di rumah, mereka lebih cenderung untuk menggunakan internet berjam-jam setiap minggu berbanding dengan mereka yang dibesarkan dalam kalangan keluarga yang tidak mempunyai computer. Mereka bebas melayari internet bila-bila masa sahaja kerana mereka mempunyai kemudahan itu, tambahan pula pada zaman sekarang ini paket internet dijual dengan harga yang murah dan mampu dilanggan oleh semua lapisan masyarakat. Sehingga remaja yang mempunyai ibubapa berpendapatan sederhana dan tinggi tidak merasa keberatan untuk membelikan paket internet kepada mereka. Kesimpulannya faktor ekonomi turut menyumbang kepada penyalahgunaan gadget.
Penggunaan gadget yang tidak terkawal mempunyai kesan negatif terhadap akhlak remaja. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi kerana semua perkara dalam dunia ini mempunyai kesan negatif dan positif. Dalam hal ini penggunaan gadget mempunyai kesan negatif yang mampu menjejaskan akhlak remaja kerana penggunaan gadget terlalu meluas dan ianya boleh diakses begitu sahaja oleh semua orang tanpa mengira had umur. Jadi golongan remaja ini terdedah kepada pelbagai isi kandungan yang terdapat dalam internet dan sebagainya yang kadang-kadang iainya tidak ditapis. Oleh itu penggunaan gadget mampu menjejaskan akhlak remaja sekiranya ia tidak dipantau.
3. Kesan negatif penyalahgunaan telefon bimbit terhadap akhlak remaja
Di zaman revolusi teknologi telekomunikasi dan multimedia tanpa had sekarang ini, telefon bimbit digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa penggunaan telefon bimbit banyak memberikan faedah kepada para pelajar. Malangnya disebalik kebaikan telefon bimbit terdapat juga impak negatif terhadap penggunanya. Di antara kesan tersebut adalah :
a. Berlaku pembaziran
Penggunaan telefon bimbit yang tidak terkawal boleh menyebabkan berlakunya pembaziran. Hal ini kerana biasanya golongan remaja ingin mempunyai model telefon bimbit terbaru apabila melihat rakan lain memilikinya. Bukan itu sahaja, penggunaan data internet menyebabkanpelajar terpaksa menanggung bil telefon yang mahal.
b. Menjatuhkan prestasi akademik
Penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan dapat menjatuhkan prestasi akademik. Sebagai contoh, pelajar mengabaikan pelajaran mereka kerana terlalu focus bermain telefon bimbit. Menurut Salleh (2017), penggunaan telefon bimbit dapat menyebabkan prestasi akademik pelajar menjadi rendah dan pelajar kurang melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Secara implikasinya, prestasi akademik pelajar akan merosot kerana kekurangan inisiatif dan semangat yang membara bagai hilang kapak berganti beliung selepas ketagihan dalam perisian telefon bimbit yang semakin canggih. Jelaslah bahawa ketagihan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar akan menjejaskan prestasi akademik.
c. Menjejaskan Kesihatan
Kesan negatif seterusnya adalah berkaitan dengan masalah kesihatan pelajar. Penggunaan telefon bimbit yang berlebihan dapat menjejaskan kesihatan pelajar. Antara kesan buruk penyakit yang boleh didapati menjejaskan kesihatan pelajar adalah Insomnia iaitu penyakit susah tidur, dimana pelajar yang menggunakan telefon pintar dengan permainan video, melayari internet secara tidak langsung boleh menjejaskan kualiti tidur. Ketagihan terhadap media social misalnya akan membawa kepada tabiat berjaga malam dan akhirnya menyebabkan masalah kekurangan tidur dan keletihan. Menurut Konsultan Paedetrik dan Neonatologist, Dr. Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar menjelaskan dalam Utusan (2014) bahawa penggunaan telefon pintar akan menjejaskan penglihatan mata menjadi kabur dan rabun. Makakala menurut Penyelidik dari Lembaga Kesihatan Universiti Morgannwg, Abertawe (2013) penggunaan telefon bimbit akan mendatangkan masalah kesihatan pada bahagian tengkuk dan belakang badan. Hasil daripada kajian, hamper tiga perempat daripada pelajar sekolah menengah dilaporkan mengalami masalah pada bahagian tengkuk dan belakang badan. Oleh itu, banyak kesan negatif berbanding kesan positif terhadap penggunaan telefon bimbit.

d. Mendorong kepada aktiviti seksual
Sebagai contoh, pelbagai film dan drama disiarkan di aplikasi berunsurkan aksi-aksi lucah atau pornografi dan aksi keganasan. Menyebabkan pelajar akan lebih cenderung dengan perasaan ingin mencuba aksi-aksi yang dipaparkan, kerana itulah perbuatan tidak bermoral akan dilakukan oleh pelajar. Menurut Nahar (2018), laman web seks dan pornografi kekal di tempat tertinggi iaitu tempat keempat dan kelima daripada 100 laman web yang kerap dikunjungi oleh kanak-kanak dan remaja sepanjang tahun 2009. Merujuk kepada pengalaman Singapura, pada tahun 1999, seorang gadis telah dirogol (diperkosa) oleh kawannya yang mereka kenali melalui telefon bimbit. Lebih mengecewakan lagi, telefon bimbit semakin lama semakin canggih. Hal ini akan menyebabkan kesukaran ibubapa membuat pemantauan terhadap anak-anak mereka.
Kesimpulannya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja mendatangkan lebih banyak kesan buruk daripada kesan baik. Hal ini kerana, remaja merupakan asset terpenting negara dan akan menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa Melayu “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Justeru itulah perlu langkah yang sistematik dan pragmatik dilaksanakan oleh semua pihak secara berterusan untuk menanggulangi permasalahan yang timbul ekoran daripada penggunaan telefon bimbit yang berlebihan terhadap pembentukan akhlak remaja.

4. Langkah-langkah mengatasi permasalahan berkaitan dengan kesan negatif telefon bimbit
Perlu adanya langkah-langkah yang diambil oleh pelbagai pihak dalam menyelesaikan permasalahan berkaitan dengan kesan negatif penggunaan telefon bimbit dalam membentuk akhlak remaja. Adapun pihak-pihak yang harus membantu menyelesaikan permasalahan ini di antaranya adalah peranan ibubapa, pihak sekolah, pemerintah serta diri sendiri.
a. Peranan ibubapa
Penyalahgunaan telefon bimbit dikalangan remaja atau pelajar sering kali menjadi isu terutama beberapa tahun akhir ini. Contoh-contoh penyalahgunaan telefon bimbit di kalangan remaja adalah merakam aksi rakan-rakan yanga adakalanya dianggap lucah (porno), setelah itu rakaman diedarkan di laman web. Mereka juga boleh mempermalukan seseorang dengan menggunakan telefon bimbit seperti mengambil gambar yang boleh menimbulkan rasa malu dan mencemarkan nama baik seseorang. Jadi bagi menangani masalah ini ibubapa perlulah memainkan peranan penting dalam melakukan perubahan terhadap akhlak anak-anak mereka dengan membatasi penggunaan telefon bimbit (Sulong, 2010).
Seterusnya peranan yang boleh dimainkan oleh ibubapa ialah menyediakan jadual waktu anak-anak bermain telefon bimbit, belajar dan sebagainya. Dalam sehari ibubapa perlulah menghadkan dalam beberapa jam penggunaan telefon bimbit untuk anak-anak. Jika ibu bapa membiarkan sahaja mereka menggunakan telefon bimbit tanpa peraturan, sudah pasti anak-anak lebih mudah menimbulkan masalah dan akan lebih ketagihan telefon bimbit. Ibubapa hendaklah mencuba untuk menetapkan peraturan yang ketat dan tegas untuk anak-anak dalam penggunaan telefon bimbit. Tetapkan tempat untuk mereka bermain telefon bimbit seperti di ruang tamu atau disediakan satu ruang khusus untuk mereka, ibubapa perlu membuat satu peraturan iaitu tidak membenarkan mereka bermain telefon bimbit semasa waktu bersama atau berkumpul bersama keluarga terutama ketika makan.
Selain itu, ibubapa juga perlu memberikan ajaran agama yang kukuh kepada anak-anak. Menurut ahli Fizikteori Albert Einstein bahawa agama tanpa ilmu itu buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini memang membuktikan bahawa agama dan ilmu saling berkaitan antara satu sama lain. Pegangan agama yang kukuh dapat membentuk sahsiah dan akhlak mulia seseorang individu agar mendorongnya ke jalan yang tepat. Didikan agama hendaklah didedahkan sejak awal usia anak-anak lagi sebagai pedoman hidup. Jadi dengan car ini anak-anak mudah mendengar cakap ibubapa dan patuh dengan apa yang disuruh. Tidak susah untuk mengawal penggunaan telefon jika didikan agama sudah diberikan semenjak dini lagi.
Seterusnya cara yang boleh membantu mengatasi masalah ini ialah ibubapa boleh memenuhkan masa cuti hujung minggu anak-anak dengan aktiviti yang bermanfaat seperti bersukan, melancong dan sebagainya. Apabila anak-anak dilayan seperti itu mereka akan berasa seronok dan selesa serta tidak bosan dengan aktiviti mereka setiap minggu. Lebih baik lagi apabila ibubapa dapat mengeratkan silaturahim antara mereka dan anak-anak sehingga akan rasa hilang kepentingan telefon kepada anak-anak. Kesimpulannya peranan ibubapa sanat penting dalam menyelesaikan masalah penggunaan telefon bimbit yang berlebihan.

b. Peranan pihak sekolah
Sekolah juga memainkan peran penting bagi membantu menyelesaikan permasalah ini, kerana anak-anak terutama remaja sebagahian besar mereka adalah masih berada di usia persekolahan. Terkadang disebabkan keinginan memiliki telefon bimbit, remaja akan mencuba segala kemudahan yang disediakan dalam telefon. Semakin hari aplikasi telefon bimbit semakin canggih dari pelbagai segi seperti bentuk, penggunaan dan fungsinya. Oleh itu langkah berjaga-jaga juga perlu diambil oleh guru-guru di sekolah. Jika guru tidak memainkan peranan dalam permasalahan ini, maka prestasi sekolah akan menurun. Semua guru hendaklah menitik beratkan akan permasalahan ini, kerana pelajar biasanya akan lebih takut kepada guru berbanding dengan ibubapa. Diantara langkah-langkah yang perlu diambil oleh pihak sekolah adalah dengan mengadakan ceramah motivasi yang berkaitan dengan penyalahgunaan telefon bimbit. Isi kandungan dalam ceramah tersebut hendaklah menerangkan tentang kebaikan, keburukan dan kesan penggunaan telefon bimbit apabila tidak dikawal. Sedikit banyak dapat menyedarkan pelajar tentang penggunaan telefon bimbit.
Selain itu, guru merupakan ibubapa pelajar yang kedua, untuk itu semua guru hendaklah menerapkan dan memberikan nilai-nilai murni atau mata pelajaran yang berkaitan dengan pengajaran moral serta pengajaran agama tentang kesan negatif penggunaan telefon bimbit yang berlebihan. Guru juga memainkan peranan penting dalam menyusun cara pengajarannya supaya dapat menarik minat pelajar, sehingga pelajar dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru. Dengan cara tersebut diharapkan pelajar mau mendengan nasihat guru kerana itu semua adalah demi kebaikan para pelajar.
Disamping itu, pihak sekolah hendaklah sentiasa mengadakan pemantauan atau “Spotcheck” kepada pelajar-pelajar secara mengejut apabila di sekolah. Kerana terkadang sesetengah pelajar ada yang melanggar peraturan seperti membawa telefon bimbit ke sekolah. Jadi dengan pemantauan seperti ini guru-guru dapat mendisiplinkan pelajar. Jika ada perkara yang tidak bermanfaat dan unsur-unsur tidak baik guru boleh mengadakan sesi pertemuan dengan ibubapa pelajar, tujuannya supaya ibubapa dapat mengetahui apa yang dilakukan oleh anaknya ketika berada di sekolah.
c. Peranan kerajaan
Untuk menaikkan prestasi serta kemodenan ekonomi suatu negara, penggunaan telefon bimbit juga penting. Jika tiada telefon bimbit maka susah bagi setiap orang untuk berkomunikasi dan mengetahui perkara penting dari negara lain. Kerajaan juga berperanan penting bagi menangani permasalahan telefon bimbit di kalangan pelajar. Pihak kerajaan perlulah menguatkuasakan undang-undang penggunaan telefon bimbit. Jika pihak kerajaan menguatkuasakan undang-undang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar, maka sudah pasti semua pelajar akan berjaga-jaga dalam penggunaan telefon bimbit. Mereka akan mengikuti peraturan dan tidak berani melanggarnya.
Selain itu, pihak kerajaan perlulah menerapkan pendedahan kepada masyarakat tentaang hukuman penyalahgunaan telefon bimbit. Pihak kerajaan perlu membuat peraturan seperti ini supaya pelajar tidak menghabiskan waktunya dengan penggunaan telefon bimbit. Selalunya pelajar akan takut dengan hukuman yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Kerajaan juga berperanan membuat kempen-kempen yang berkaitan dengan kesan negatif penyalahgunaan telefon bimbit kepada pelajar. Dengan mengadakan kempen ini diharapkan pelajar dapat membatasi penggunaan telefon bimbit dengan sebaik-baiknya.

5. Kesimpulan
Penggunaan telefon bimbit banyak mendatangkan kesan negatif kepada pembentukan akhlak remaja, apalagi akhlak kanak-kanak yang masih di bawah umur, kerana mereka belum dapat menbezakan perkara baik dan uruk. Pelbagai perkara negatif yang disebabkan oleh penyalahgunaan telefon bimbit, di antaranya adalah pengurusan masa, sepatutnya pelajar lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga, berbuat perkara yang bermanfaat yang dapat menyumbang kepada amal ibadah namun sebaliknya mereka terbiasa dengan permainan di telefon bimbit yang boleh menjerumuskan kepada perkara yang tidak baik. Untuk itu peranan semua pihak sangat diharapkan supaya penyalahgunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja dapat diatasi dengan baik.

Rujukan
Al mazmi (2013). The Influence of Technology on Children’s health, international conference on Technology and business management. Selangor : PTS Publishing House.
Arifin, Z (2015). Perilaku remaja pengguna gadget : analisis teori sosiologi pendidikan. Jurnal Pemikiran Islam.
Hassan, J (2012). Ketagihan penggunaan internet di kalangan remaja sekolah tingkatan 4 di Bandaraya Johor Bahru. Jurnal Teknikal dan Vokasional. Skudai : UTM.
Ibrahim, N (2016). Kesan Perantaraan Perilaku tabiat pelajar dan hubungan antara faktor peramal terhadap perilaku penggunaan sebenar telefon bimbit dalam aktiviti akademik. Serdang : Thesis UPM.
Nahar, N (2018). Impak negatif teknologi moden dalam kehidupan dan perkembangan kanak-kanak hingga usia remaja. Jurnal Umran. Skudai : UTM .
Salleh, S (2017). Telefon pintar: Pengaruh terhadap remaja. 4th International Research management & Innovation Conference.
Sulong, A (2015). Pengaruh media elektronik terhadap keruntuhan akhlak pelajar. Fakulti Pendidikan UTM.

Video Terbaru

HTML

Data Kampus

IAI. Riyadlatul Mujahidin Ngabar Ponorogo

NPSN : 347446868

Jl. Sunan Kalijaga, Dusun I, Ngabar
KEC. SIMAN
KAB. PONOROGO
PROV. JAWA TIMUR
KODE POS 63471
TELEPON (0352) 311785
FAX (0352) 311785
EMAIL iairm_ngabar@yahoo.com